Kota Bharu: Tujuh tahun lalu, penduduk bandar ini pelik melihat beberapa pohon kurma yang ditanam pihak berkuasa tempatan namun kini pohon sama menjadi tumpuan ramai apabila lebat berbuah.
Difahamkan 37 pokok itu ditanam Unit Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai tanaman hiasan untuk mengindahkan lagi bandar ini sejajar gelaran Bandaraya Islam.
Satu lokasi yang mencuri perhatian adalah di Bulatan Jam Besar berikutan kedudukannya di tengah-tengah bandar menyebabkannya paling menonjol berbanding yang lain. Setiausaha MPKB Rosnazli Amin berkata, pohon kurma dianggap tanaman hiasan yang paling sesuai berikutan cuaca di negeri ini. Malah berikutan keunikannya, pokok itu turut dijadikan tanaman hiasan oleh jabatan dan agensi lain yang beroperasi di sini.
“Ia adalah sejenis pokok palma yang rimbun dengan daun yang lebat.
Sejak tahun lalu pohon di Bulatan Jam Besar sudah mula berbuah.
“Namun kali ini, ia semakin lebat sekali gus mencuri tumpuan semua pihak.
“Akhir Ramadan ini buahnya dijangka masak dan boleh dipetik untuk dimakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Rosnazli berkata, daripada 37 pokok itu, 10 daripadanya sudah berbuah namun pihaknya menegah orang ramai memetiknya. Katanya, ia bagi memastikan pokok terbabit kekal terjaga.
Bagaimanapun, pihak MPKB tidak melarang mana-mana pihak yang mahu menikmati kurma yang sudah gugur.
“Harap mereka tak petik di pokok, sebaliknya ambil yang sudah gugur di tanah.
Pohon ini tujuannya untuk indahkan Kota Bharu,” katanya.
Source : WA Group
No comments:
Post a Comment